KERETA rosak akibat dihempap kepingan besi.
Kuala Lumpur: Sebuah kereta rosak selepas dihempap kepingan besi besar dipercayai jatuh dari kawasan pembinaan bangunan di Jalan Ampang, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.
Difahamkan ketika kejadian, kereta berkenaan diletakkan di tepi jalan di hadapan kedai serbaneka di lokasi terbabit.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan pihaknya tiada menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit.